Tuesday, December 29, 2009

Feel Like Blogging in Bahasa

Jangan berkongsi perasaan geram, marah, menyampah dan benci terhadap boss anda dengan rakan rakan sekerja walaupun yang baik dengan anda.

Sebaikmana pun rakan anda dengan anda, apa yang anda katakan boleh digunapakai untuk menjatuhkan anda di hari hadapan. Apatah lagi sekiranya anda meluahkan perasaan pada rakan yang mencari jalan supaya ketua unit sentiasa memandang tinggi terhadapnya, bukan anda sebaliknya. Keadaan menjadi teruk lagi sekiranya anda meluahkan perasan pada rakan yang sentiasa berfikir bahawa dialah pekerja contoh yang paling cekap dari orang lain, pandai dan berhak mendapat pujian / galakan.

Luahkan perasan geram itu pada rakan rakan yang tidak berada di dalam industri yang sama, atau pun paling baik, tulis sahaja pada catatan harian anda.

Jika anda berkongsi segala perasaan negatif terhadap boss anda, anda akan kelihatan seperti orang yang tidak berfikiran positif dan jauh ke hadapan. Rakan rakan anda mungkin menjadi boss anda atau pun anda akan menjadi boss mereka. Perkara yang sama akan berulang. Anda hanyalah membina tanggapan awal mereka mengenai tahap professionalisme anda.

Jika ada rakan sekerja yang meluahkan perasaan benci mereka terhadap boss di hadapan anda, senyum sahaja dan sabarkan mereka. Jangan beri tanggapan bahawa anda menyebelahi mana mana pihak. Kata kata seperti, “Saya pun akan berperasaan seperti awak sekiranya saya di tempat awak” adalah lebih baik dan selamat dari, “Saya pun hari itu menghadapi perkara yang sama”. Elakkan memberi cadangan kerana kebanyakan orang meluahkan perasaan hanya untuk didengari, bukan untuk dileteri atau dihukumi.

Sekiranya anda mengambil masa untuk berkongsi perasaan negatif ini, mungkin lebih kurang setengah jam dari waktu kerja anda akan terhabis dengan bercakap, bukan untuk melakukan kerja yang berkecekapan tinggi sebaliknya.

Berjumpalah boss anda sendiri sekiranya anda menghadapi masalah memahami arahannya. Atau pun buat audit secara terperinci mengenai cara anda bekerja atau pun berkomunikasi. Berkemungkinan, 50% dari kemarahan ketua anda berpunca dari anda.

No comments: